Positive Vibe ✨
Dan kau itu adalah apa yang kau fikirkan ;
•
Seorang tua di tepi kedai makan segera--
Sudah beberapa kali kami ketemu namun baru hari itu aku sempat bertegur sapa dengannya. Selalunya aku juga seperti orang lain yang hanya memandang dari kejauhan dan mendoakan dia dalam diam.
•
Namun--
Tidak untuk petang itu. Aku turun dari kereta dan mengambil tempat di sebelahnya. Aku memasukkan sedikit usinn dalam genggamannya. Dia senyum lantas menghulur sayur yang dijualnya pada aku.
"Tak apa. Pak cik ambik saja duitnya"
•
Dia senyum. Paling lebar setakat yang kupandang dari tadi. Aku memulakan perbualan. "Selalu niaga di sini pak cik?"
Aku berbasa-basi.
•
Sedangkan hakikatnya tiap kali ke sini, dia selalu kutemui walaupun barangan jualannya berlainan tiap kali. Ada hari sayur midin. Ada hari ikan kering. Ada hari buah betik dan lain-lain.
•
Dia angguk. Mengiyakan pertanyaan aku sebentar tadi. "Pak cik sorang? Anak-anak mana?" Terjun terus pada soalan utama. Sedikit kebimbangan dalam menutur suara. Risau pertanyaan tadi menghiris hati tua.
•
"Isteri di rumah. Tak sihat dia. Anak ada dua. Kahwin dah semua. Tinggal jauh dengan orang. Jarang pulang. Tapi bila pulang mereka bawakkan aku beras." Nada akhir dia masih memuliakan anak-anaknya.
•
Itulah ibu bapa, anak-anak sentiasa mendapat tempat pertama di hati mereka. Aku diam. Tidak jua mahu mengulas panjang.
•
Pak cik memberi signal pendengarannya tidak berapa elok. Mungkin risau aku berkecil hati bila pertanyaanku tidak dapat dijawab dengan bagus sekali.
•
Aku senyum. "Tinggal mana pak cik?" Dia pantas menunjukkan arah di belakang restoran segera. "Tak jauh. Pakai basikal ke sini" dia senyum. Pandangannya meleret pada basikal tua yang terletak teguh di sebelahnya.
•
Walaupun tidak jauh, pak cik perlu melalui jalan raya besar yang keretanya tidak putus-putus. Kalau segagah aku, bisa saja terus lari. Kudrat tuanya pasti tidak segagah itu dan sepenuh tenaga perlu dikerah menolak basikal tuanya sepanjang perjalanan nanti.
•
Allahuu.
Pak cik ini masih senyum. Mungkin seronok berbual dengan aku walau perkataanya tengelam timbul satu persatu.
•
Urat dawai tulang besi tua itu masih gagah mencari rezeki buat mereka suami isteri. Sedang sepatutnya dia duduk goyang kaki mengharap anak-anak pula berbakti.
•
Aku memberi signal mahu mengundur diri. Leret mata dia menghantar aku hingga hilang dari pandangan. Malah sempat melambai dengan sengihan penuh lebar menampakkan sedikit rongak dalam senyum yang paling sukar untuk aku mengerti.
•
Dia susah namun tak pernah meminta-minta. Malah mencari rezeki dengan kudrat tuanya sendiri. Berbalik pada aku seorang muda yang kudrat masih penuh tenaga, ada kadang masih jua mengeluh dengan sedikit beban kerja yang tidak seberapa.
•
Iya--
Dan kita itu apa yang kita fikirkan.
Bahagia itu dimana-mana. Syaratnya ; kena redha. Kena syukur selalu. Allah akan beri apa yang kita perlu malah lebih dari itu.
•
Berbalik pada bagaimana kau melihat diri dan keadaan keliling.
Jika kau rasa itu masalah -- maka sememangnya akan menjadi masalah. Jika kau melihat sakit itu musibah maka tak siapa dapat menukarnya. Dan jika kau melihat sakit sebagai penghapus dosa; kau mungkin akan lebih tenang dari biasa.
•
Dan kita itu apa yang kita fikirkan--
Fikir yang baik-baik saja,
Maka akan datangnya seribu kebaikan bersama.
•
Apa pakcik tadi tidak penat?
Tidak merasa malu dilihat masyarakat?
Tidakkah dia merasa susah?
Tidakkah jua berkeluh kesah?
•
Dan pakcik itu adalah apa yang dia fikirkan.
Kisah apa tentang penat.
Dia mencari rezeki halal dan bukan merempat.
Kisah apa tentang pandangan masyarakat.
Kerjanya tidak meyusahkan orang dan mengganggu pandang.
Dalam susah dia pasti bahagia--
Jualannya laku sekali.
Tidak pernah tidak dia balik membawa hasil jualannya kembali.
Dalam setiap keluh kesah ; dia pasti lebih redha dengan ketentuan Allah.
•
Bukan macam kita--
buruk orang kita canang.
Baik sendiri kita tayang.
•
Untung pakcik tak punya media sosial--
Orang sekarang sikit-sikit nak tayang.
Aib orang, aib sendiri-- dia tak peduli.
Sehari tak kongsi, dia rasa rugi.
•
Saya menulis untuk diri. Tidak berniat menyindir sesiapa dalam tulisan ini. Semoga di lain waktu saya membaca, saya tahu cara mencari bahagia.
•
Iaitu-- mengubah mindset minda.
Lebih positif dan percaya.
Tuhan itu adil dan saksama-- mana mungkin pilih kasih walau aku dosa merata.
•
Dan kalau ada silap manusia pada aku, yakin sebab Allah nak bukakkan mata -- disebalik kejadian tu pasti ada salah aku sama.
•
Semoga Allah limpahkan rezeki buat pakcik sekeluarga. Pada anak-anak ; hargai orang tua sementara mereka masih ada. Berbakti selagi mampu sebelum ajal menjemput mereka dulu.
•
Dan untuk seorang aku--
Moga lebih positif dalam melihat dunia.
Masalah bukan alasan untuk kau berserah.
Cari jalan dan selesaikan elok-elok.
Kerana lari itu tidak menjamin kau akan bahagia. Kerana-- dengan rasa yang masih bersisa ; itu sebenarnya mengundang derita.
•
Buat seorang pakcik--
Terima kasih menjadi inspirasi.
Dia selalu ada, di tepi laluan pandu lalu McDoland Miri sana.
Kalau jumpa ; doakan dia sama. Semoga sihat dia sentiasa. Terus kuat dan melangkah gagah. Urusan mencari rezekinya dipermudah.
•
Jangan jadi macam aku--
Nangis melihat pakcik menyorong basikal tua sepanjang pandu lalu. Dia senyum sambil menghayun langkah lemah. Sepanjang berjalan mukanya berpaling pada susunan kereta yang berbaris panjang. Entah apa yang dia fikirkan.
•
Allahuu--
Semoga panjang umur pakcik.
InsyaAllah ; kita akan jumpa lagi.
Comments
Post a Comment